Asas Perakaunan
Asas perakaunan bermaksud bagaimana
pengiktirafan kepada urus niaga dibuat. Asas perakaunan bukan bermaksud
cara urus niaga dilakukan iaitu sama ada urus niaga tunai atau urus
niaga kredit, tetapi hanya bermaksud bagaimana pilihan dibuat ke atas
urus niaga untuk dihitungkan prestasi dalam satu-satu tempoh. Pemilihan
asas perakaunan memberi kesan secara langsung kepada jumlah untung atau
rugi yang dihitung. Terdapat dua asas perakaunan iaitu asas tunai dan
akruan.
Asas Akruan
Sesebuah perniagaan perlu menyediakan penyata kewangan mengikut asas akruan kecuali maklumat aliran tunai.
Mengikut perakaunan asas akruan,
urus niaga dan peristiwa diiktiraf apabila ia berlaku (bukan bila tunai
diterima atau dibayar) dan direkodkan dalam rekod perakaunan tempoh urus
niaga tersebut berlaku. Seterusnya urus niaga tersebut dilaporkan dalam penyata kewangan dalam tempoh yang sama.
Belanja diiktiraf dalam penyata pendapatan berdasarkan perkaitan langsung di antara kos yang dikenakan (incurred) dengan perolehan item tertentu pendapatan. Ini
adalah untuk memastikan belanja dipadankan dengan pendapatan yang
berkaitan. Semua kos berkaitan aktiviti penjanaan hasil dalam tempoh
tersebut juga dilaporkan dalam tempoh yang sama walaupun bayaran ke atas
perbelanjaan belum dibuat.
Sebagai contoh, dalam bulan Januari
20X1 hasil jualan terdiri daripada RM10 ribu jualan secara tunai dan RM3
ribu secara kredit. Kutipan
untuk jualan kredit bulan Januari diterima dalam bulan Februari 20X1.
Berapakah jumlah jualan yang harus diiktiraf dalam bulan Januari?
Mengikut perakaunan asas akruan, jualan dalam bulan Januari 20X1 ialah
RM13 ribu walaupun RM10 ribu sahaja kutipan diterima dalam bulan Januari
20X1.
Asas Tunai
Peraturan perakaunan semasa tidak membenarkan perniagaan mengiktiraf
hasil dan belanja mengikut asas tunai. Namun di sini diberikan sedikit
penjelasan mengenai perakaunan asas tunai. Mengikut amalan perakaunan
asas tunai, tumpuan harus diberi kepada aliran tunai masuk dan keluar
dalam sesuatu tempoh BUKAN berdasarkan tempoh urus niaga berlaku. Untuk
memudahkan perbandingan, kita gunakan contoh terdahulu di mana dalam
bulan Januari 20X1, hasil jualan terdiri daripada RM10 ribu secara tunai
dan RM3 ribu secara kredit serta kutipan jualan kredit hanya diperolehi
dalam bulan Februari 20X1. Jika perakaunan tunai diamalkan, hasil yang
dilaporkan dalam bulan Januari 20X1 ialah RM10 ribu sahaja bukan RM13
ribu seperti mana yang akan laporkan mengikut asas akruan.