Agama Islam adalah agama percintaan dan kasih sayang. Firman Allah di
dalam surah Ar-Rum ayat 21, “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan
kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai
kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu
bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara
kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.”
Apabila dua insan bercinta, ada yang sayang menyayang kerana “cinta
berahi” yang wujud di antara mereka. Cinta berahi yang sampai ke jinjang
pelamin akan terselamat dari gangguan syaitan. Cinta berahi yang
tercemar dengan hasutan syaitan akan berakhir dengen keterlanjuran.
Di dalam keadaan lain, ada yang sayang menyayang kerana Allah.
Bercinta sesama makhluk kerana Allah adalah lebih selamat. Ia tidak
melukakan hati, tidak meresahkan jiwa, tidak merosakkan akhlak, tidak
perlu risau tentang “frust”, tidak perlu melayan perasaan cemburu.
Menurut Rasulullah, menyayangi seseorang kerana Allah dapat mendatangkan
kemanisan iman.[1] Namun, tidak ramai yang mengetahui caranya.
Menurut Imam Ghazali di dalam Ihya Ulumuddin, kecintaan seseorang
yang hakiki kepada insan lain kerana Allah bukanlah bermaksud mencintai
insan itu kerana dzatnya (sifatnya), sebaliknya adalah kerana insan itu
dapat mendekatkan diri sendiri dengan akhirat.
Menurut beliau lagi, bahawa seorang lelaki mengahwini seorang wanita
soleh supaya terpelihara dari gangguan syaitan, supaya terjaga agamanya,
supaya memperolehi anak-anak yang soleh dari wanita itu dan seterusnya
anak-anak itu mendoakan untuknya. Lalu apabila lelaki berkenaan
mencintai wanita itu kerana semua sebab-sebab di atas, maka dia adalah
tergolong sebagai salah seorang pencinta kerana Allah.[2] Perkara ini
dinukilankan oleh Al-Ghazali lebih kurang 1000 tahun yang lalu.
Selepas ini, apabila anda mencari cinta, carilah cinta yang wujud
kerana Allah. Apabila anda menemui cinta, tanya diri sendiri kenapa anda
mencintainya? Apakah kaitan cinta itu dengan akhirat anda?
Wallahu’alam.
Nota Kaki
~~~~~~
[1] http://hadith.al-islam.com, Sahih Bukhari #16
[2] Ihya Ulumuddin, Kitab Adab Berkasih Sayang, Bab Erti Persaudaraan
Pada Jalan Allah dan Perbezaan Daripada Persaudaraan Pada Jalan Dunia.
No comments:
Post a Comment