Adakah anda sedar anda bermulut celupar? Pernahkah anda berusaha
untuk berubah tetapi tidak berjaya? Artikel ini membincangkan teknik
mengubati penyakit mulut celupar daripada Al-Quran, khusus untuk mereka
yang berniat untuk berubah, Insya Allah.
Rasulullah telah
meninggalkan beberapa petua untuk mengubati penyakit lisan. Petua ini
berguna untuk mengubati penyakit-penyakit lain seperti suka memfitnah,
mengumpat, menipu, bercakap kotor dan sebagainya selain mulut celupar.
Pertama,
nabi menyuruh diam. Sahabat Abu Syuraih Al-Khuza’iy r.a. menyatakan
bahawa nabi pernah berpesan, “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan
Hari Akhirat, maka hendaklah dia bercakap hanya perkara yang baik atau
diam.”[1]
Kemudian, nabi menyuruh kita berzikir bagi mengimbangi
aktiviti lidah. Kebanyakan dari kita menggunakan lidah untuk kemudahan
dan kepentingan diri dan terlupa memuji pencipta lidah setiap hari.
Kata-kata yang dihasilkan oleh lidah dalam memuji pencipta lidah lebih
sedikit berbanding dengan kata-kata yang dihasilkan ketika berkomunikasi
sesama kita. Menurut sahabat Ibnu Umar, nabi pernah berkata,
“Janganlah kamu banyak bercakap tanpa berzikir kepada Allah, kerana
sesungguhnya banyak bercakap tanpa berzikir kepada Allah mengakibatkan
kerasnya hati, dan orang yang paling jauh dengan Allah adalah orang
yang paling keras hati. [2]
Berhubung dengan zikir, menurut
rekod Imam Bukhari, nabi telah menyatakan, “Ada dua kalimat yang paling
disukai Yang Maha Pengasih. Sangat mudah diucapkan tetapi sangat berat
dalam timbangan. Kedua-dua kalimat itu adalah ’subhanallah wa
bihamdihi’ dan ’subhanallah hil azim’.” [3] Kedua-dua kalimat ini
membawa maksud ‘Maha suci Allah dan segala pujian kepadaNya’ dan ‘Maha
suci Allah yang Maha Besar.’ Di dalam riwayat lain diceritakan, sesiapa
yang membaca “subhanallah wabihamdihi” 100 kali sehari, maka semua
doasanya diampunkan oleh Allah, meski pun sebanyak buih di lautan. [4]
Ketiga,
sahabat Huzaifah r.a. pernah mengadu kepada Rasulullah s.a.w tentang
keburukkan yang ada pada lisannya. Maka Rasulullah bersabda,
“Bagaimanakah engkau dengan istighfarmu wahai Huzaifah? Sesungguhnya aku
beristigfar kepada Allah s.w.t.seratus kali setiap hari.” [5]
Istighfar bermaksud memohon ampun. Ucapan istighfar yang dimaksudkan
adalah sekurang-kurangnya dengan mengucapkan, “Astaghfirullahazim”
disertakan “perasaan menyesal” di dalam hati. Jika nabi yang maksum dan
yang baik tutur kata beristighfar kepada Allah sebanyak itu, bagaimana
pula agaknya jumlah kuantiti istighfar orang yang mempunyai penyakit
lisan?
Wallahu’alam. Selamat mencuba.
asal : http://webblog.myjodoh.net/2007/07/16/formula-mengubati-mulut-celupar-dari-rasulullah/
No comments:
Post a Comment